Tuan
Setinggi-tinggi Penghargaan dan Terima Kasih
Kami, Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua dan Ahli-ahli Jawatankuasa PIBG bersama-sama semua ibu bapa kepada murid-murid sekolah ini ingin merakamkan penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh pihak tuan dalam menjayakan wawasan SK Meru.
Melalui Bengkel Lonjakan Pencapaian Akademik dengan Kaedah Mokhdar yang dianjurkan oleh PIBG dengan kerjasama penuh Fyvoeight Resources pada 26 - 28 Mac lalu, kami akui bahawa Kaedah Mokhdar telah berjaya merubah paradigma pelajar-pelajar sekolah ini khususnya dalam mata pelajaran matematik & sains. Dalam bengkel tersebut pelajar dilatih menggunakan sebutan Mokhdar dalam suasana yang riang tapi penuh semangat. Angka dan fakta bukan sahaja diubah menjadi 'bahan yang bercerita' malah kadangkala melucukan. Secara tak langsung apabila penggunaan kaedah ini sudah semakin mantap, mata pelajaran yang sebelum ini dianggap susah akan bertukar sekelip mata menjadi mudah dan ceria.
PIBG sekolah ini sentiasa berusaha membantu pihak sekolah mempertingkatkan keberkesanan Program Semarak Waja terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran matematik & sains. Kami juga mahukan pelajar dalam kelas-kelas 'hujung' menguasai asas mengira dengan lebih cekap dan tepat disamping mempertingkatkan kecemerlangan pelajar dalam kelas-kelas 'pangkal' dalam ujian UPSR mereka nanti. Melalui beberapa siri Mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan setelah mendapat persetujuan Guru Besar, Guru-guru Penolong Kanan serta guru-guru lain maka kami memutuskan untuk bekerjasama dengan Fyvoeight Resources bagi menganjurkan bengkel penggunaan Kaedah Mokhdar supaya matlamat melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dapat dicapai.
Kami begitu yakin bahawa menggunakan Kaedah Mokhdar merupakan pilihan tepat kerana hasilnya dapat dilihat dalam waktu paling singkat. Sebagai bukti, Ahmad Zulhilmi, murid Tahun 4 sekolah ini, yang menyertai Bengkel Intensif 8 hari pada awal Januari lalu sudah menguasai sifir 2 digit darab 2 digit (sehingga 19 x 19) dan dapat memberikan jawapan sepantas kilat semasa diuji oleh tuan sendiri semasa bengkel di atas dijalankan. Kami percaya Kaedah Mokhdar mampu mengubah potensi smeua pelajar sekolah kami daripada murid biasa menjadi genius matematik & sains. Setelah Kaedah Mokhdar benar-benar mantap, kami mengharapkan mereka boleh selesaikan masalah yang jauh lebih tinggi dan kompleks berbanding rakan sebaya mereka yang tidak mengamalkan Kaedah Mokhdar dan matematik & sains akan jadi subjek yang jauh lebih mudah dan menceriakan mereka.
Melalui sesi talimat dan demonstrasi yang tuan tunjukkan semasa bengkel di atas, kehebatan Kaedah Mokhdar memang tiada tolok bandingannya. Ibu bapa telah mendapat gambaran jelas tentang kaedah ini dan seterusnya mereka akan jadi pemangkin perkembangan anak masing-masing menerusi penggunaan berterusan kaedah ini di rumah.
Harapan kami agar kerjasama dengan Fyvoeight Resources dapat diteruskan lebih jauh lagi bagi memantapkan penggunaan Kaedah Mokhdar di kalangan guru dan murid sekolah ini. Oleh yang demikian, berhubung dengan tawaran tuan hendak melakukan sentuhan peribadi di sekolah ini amat kami alu-alukan ibarat kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.
Segala kerjasama tuan sangat kami hargai dan sekali lagi diucapkan jutaan terima kasih.
Sekian.
Ikhlas dari kami
WAN NOR AZAM BIN WAN ISMAIL &
MOHAMAD SHAIKHANI BIN KASMIN
Yang Dipertua & Naib Yang Dipertua PIBG SK Meru |


|